Kebelakangan ini banyak terdengar suara-suara kecil tetapi lantang untuk menyuarakan pendapat menerusi internet yang membantah dan membangkang kerajaan Barisan Nasional di Sarawak. Kebanyakan pendapat ini terlalu keras dan kedengaran tidak bertanggungjawab yakni seolah-olah mahukan perubahan yang mendadak dan akan menimbulkan perbalahan sesama rakyat Sarawak sendiri. Walaupun pendapat ini adalah suara hati sesetengah golongan yang mahukan Sarawak maju, tetapi kemajuan yang mereka mahukan ini perlu dibayar dengan pelbagai bentuk kesusahan dan keperitan sekiranya dilaksanakan tanpa mengambil kira kepentingan golongan yang lain. Mereka yang mempunyai pendapat yang bercanggah dengan rancangan kerajaan ini biasanya terdiri dari golongan yang berpendidikan tinggi dan golongan yang membangkang kerajaan kerana gagal mengambil jawatan tinggi Kerajaan Sarawak. Bagi golongan berpendidikan tinggi ini, mereka berpendapat Kerajaan BN Sarawak tidak memajukan Sarawak seperti kebanyakan tempat yang bukan di Malaysia. Mereka mahukan Sarawak mempunyai kemajuan yang canggih dan berteknologi tinggi seperti Amerika atau negara-negara Eropah. Kemajuan yang sedemikian adalah sesuatu yang sangat-sangat tidak sesuai dengan rakyat Sarawak kerana mereka belum bersedia menerima perubahan yang terlalu drastik dan memusnahkan bumi Sarawak. Bagi golongan yang gagal mendapat jawatan tinggi dan penting di Sarawak pula, mereka ini seolah-olah tidak bertanggungjawab melemparkan bermacam-macam tohmahan, mengutuk dan mencaci kerajaan asalkan mereka puas hati dan mendapat sokongan tanpa memikirkan baik buruk setiap pendapat yang dikeluarkan. Kadang-kadang pendapat mereka ini sangat menghairankan dan sangat melucukan sehingga tidak terfikir oleh kebanyakan rakyat Sarawak sendiri. Tujuan mereka sangat ketara hanya untuk memburuk-burukan Kerajaan BN Sarawak.
Kerajaan Barisan Nasional Sarawak yang memerintah Sarawak selama ini diketuai Pehin Sri Taib Mahmud mengambil langkah sederhana memajukan Sarawak untuk kebaikan rakyat Sarawak sendiri, yakni tidak terlalu mengejar pembangunan yang mendadak dan kurang sesuai dengan budaya dan adat resam pelbagai kaum di Sarawak. Mereka sangat bergantung kepada hasil bumi Sarawak yang penuh dengan sumber-sumber pertanian dan hasil hutan. Kerajaan Sarawak juga mengambil pelbagai langkah untuk mengekalkan keharmonian penduduk Sarawak dengan mengambil kira kepentingan setiap kaum dari segi keagamaan, kebudayaan dan kehidupan sosial rakyat pelbagai kaum di Sarawak. Tahniah kepada Pehin Sri kerana selama beliau memimpin Kerajaan Sarawak tidak pernah berlaku perselisihan faham atau pertelingkahan antara kaum-kaum yang boleh dikatakan terbanyak dalam satu negeri yang kecil. Bukan sesuatu yang mudah tetapi hakikatnya Pehin Sri berjaya selama ini. Suatu hari rakyat Sarawak akan berterima kasih atas kejayaan ini kerana kemajuan atau teknologi yang seperti negara Barat bukanlah suatu impian yang mereka inginkan. Inilah sesuatu yang paling bermakna untuk generasi mereka dan anak-anak mereka. Keamanan, Kesejahteraan, Keharmonian dan Kestabilan. Empat perkara penting hadiah dari pemimpin ulung Sarawak, Pehin Sri Taib kepada seluruh rakyat Sarawak. Inilah asas dan dasar 1Malaysia yang dilaksanakan di Sarawak secara kita tidak sedari.
Mulai dari hari ini, saat ini dan ketika ini, bangunlah rakyat Sarawak dan sedarlah bahawa kita adalah generasi yang akan terus memperjuangkan slogan ini. 1Malaysia 1Sarawak!
No comments:
Post a Comment